“Aku bercadang nak pindahkan operasi syarikat aku ke negara lainlah beb...” kata seorang beberapa hari lalu ketika kami minum petang di sebuah restoran mamak berhampiran pejabat tempat saya bertugas. Kawan saya ini adalah seorang usahawan dan boleh dikategorikan antara beberapa usahawan Melayu yang agak berjaya di dalam perniagaannya.


Selain mempunyai dua kilang menghasilkan produk kesihatan dan makanan ringan yang berjaya dieksport ke Timur Tengah serta beberapa negara Islam Afrika, kenalan ini turut memiliki beberapa hartanah berupa bangunan dan tanah ladang. Kedua-dua kilangnya yang terletak di Nilai, Negeri Sembilan menggaji hampir 200 pekerja, di mana 70 peratus adalah pekerja tempatan. Selebihnya beliau menggaji pekerja Bangladesh dan Myanmar.




Sudah lama beliau menyuarakan hasratnya mahu memindahkan operasi kilangnya ke negara lain, tetapi beberapa rakan berjaya memujuknya kerana memikirkan hampir 150 pekerjanya adalah anak muda tempatan, terutama anak peneroka dari sekitar Negeri Sembilan, Kedah dan Kelantan. Malah beberapa orang wanita Iban serta Dusun turut mencari rezeki di kilang beliau.


Produk jadi mahal Sebenarnya banyak sebab mengapa dia mahu bertindak demikian. Selain faktor saingan daripada beberapa syarikat lain yang turut mengeluarkan produk hampir sama dan menjualnya di zon negara serupa, kini dakwanya daya saing produk beliau sudah semakin menurun. Dalam kata lain, produk keluarannya sudah semakin mahal untuk dihasilkan, sedangkan harga di pasaran pula menurun disebabkan persaingan daripada produk syarikat lain.




Mengapa terjadi demikian? Pertamanya faktor harga bahan mentah yang semakin mahal. Selain itu, upah pekerja turut meningkat, terutama sekali dengan pelaksanaan gaji minimum yang tentunya akan menjejaskan margin keuntungan syarikatnya. Lebih menarik, beliau turut menyalahkan faktor cuti, terutamanya cuti umum persekutuan dan cuti negeri yang amat memberi kesan kepada survival syarikatnya.




Dalam hal ini saya turut bersetuju dengan rakan ini. Walaupun saya sendiri adalah pekerja yang makan gaji dan tentunya seronok mendapat banyak hari cuti bergaji, tetapi bagi kebanyakan majikan, terutamanya syarikat yang menggunakan ramai tenaga kerja seperti kilang kawan saya ini, cuti pastinya memberi kesan negatif kepada kos pengeluaran syarikat.


Dalam hal kawan saya ini, disebabkan keperluan untuk memenuhi permintaan terhadap produknya, kilang terpaksa beroperasi tanpa henti tak ubah seperti kedai serbaneka, 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu. Bagaimanapun kos pengeluaran pada setiap hari cuti umum akan meningkat secara mendadak disebabkan kos upah yang melambung. Upah berganda Kadar upah ketika cuti umum berganda daripada hari biasa. Ini semua orang tahu. Malangnya produktiviti tidak pula naik berganda, malah kerap menurun pula terutama pada musim perayaan. Ketika Aidilfitri, produktiviti pekerja beragama Islam menurun, begitu juga pekerja agama lain pada ketika cuti bersempena perayaan keagamaan mereka. Dalam kata lain, menurut kawan saya ini, cuti, lebih-lebih lagi cuti yang banyak, bukanlah sesuatu yang produktif.




Tahukah pembaca bahawa dari segi cuti, negara kita adalah antara negara paling banyak cuti di dunia? Malaysia berkedudukan nombor tujuh daripada sepuluh negara paling banyak cuti di dunia iaitu selepas Thailand, Indonesia dan India. Kita ada 16 cuti kebangsaan dan berpuluh-puluh cuti umum yang diambil di peringkat negeri. Untuk perbandingan, Singapura mempunyai 11 cuti umum, Vietnam hanya memberi rakyatnya lapan hari cuti setahun manakala negara China hanya mempunyai tujuh hari cuti kebangsaan.


Berbalik pada kawan saya tadi, dia bercadang memindahkan kilangnya di Vietnam. Sebabnya? Kos membeli hartanah di sana masih agak murah, selain proses mendapat kebenaran dan pelesenan perkilangan juga mudah. Menurut beliau, upah buruh di Vietnam juga jauh lebih murah berbanding di negara ini dan yang lebih penting cuti umum di negara komunis itu tidak sebanyak di negara ini.